Tidak dinafikan dadah merupakan salah satu perosak masyarakat yang paling merbahaya. Ini kerana kesan akibat penyalahgunaan dadah amat besar bukan sahaja terhadap individu bahkan juga masyarakat. Bukan itu sahaja ia turut memberi impak negatif kepada generasi seterusnya.
Golongan wanita antara yang turut terkesan akibat penyalahgunaan dadah ini. Tidak mengejutkan apabila mendengar golongan ini turut menjadi mangsa pengaruh dadah ini.
Menyedari kesan buruk penyalahgunaan dadah ini, Ummah Care Malaysia mengambil inisiatif mewujudkan satu pusat perlindungan yang akan dikenali sebagai Pusat Perlindungan, Pencegahan dan Tahfiz Dadah Wanita Darul Jannah. Bertempat di Kampung Bendang Raja, para mangsa penyalahgunaan dadah ini akan diberi peluang untuk membentuk kehidupan baru yang lebih positif bebas dari dadah.
Ummah Care Malaysia memandang tinggi terhadap peranan wanita dalam pembentukan masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Justeru langkah untuk memberi kehidupan kedua kepada mereka adalah satu usaha memelihara dan memperkasakan semula masyarakat melalui pemeliharaan generasi yang lebih sihat dan positif.

