UCM

USIA EMAS DAN KEMATIAN

Warga tua sering dikaitkan dengan emas kerana mengaitkan mereka dengan nilai pengalaman hidup yang telah dilalui. Namun begitu usia emas ini juga sering dikaitkan dengan kemerosotan kesihatan dan penurunan kualiti kehidupan. Apabila dipandang dari sudut ini, masa tua ialah masa yang suram dan tidak menyenangkan. Muda dan tua, pada hakikatnya, adalah sebahagian daripada sifat semulajadi setiap kejadian, iaitu pasti mempunyai permulaan dan kesudahan. Dalam sebuah hadis (riwayat Ahmad, Tirmidhi dan Hakim) Rasulullah SAW telah ditanya oleh seorang sahabat tentang manusia yang paling baik, dan Baginda menjawab: “Seseorang yang panjang umurnya dan baik amalnya.” Lalu Baginda ditanya manusia bagaimanakah pula yang jahat ataupun celaka? Jawab Baginda: “Seseorang yang panjang umurnya dan jahat amalnya.” Dalam hadis ini jelas bahawa baik atau buruknya seseorang itu bukan terletak semata-mata pada umurnya akan tetapi kepada amalannya, dan umur yang panjang itu merupakan suatu kelebihan hanya kalau sekiranya ia diisi dengan amal kebajikan, dan sebaliknyalah jika usia yang panjang itu hanya diisi dengan maksiat dan pendurhakaan kepada Allah. Hakikatnya manusia itu diciptakan hanya untuk memperhambakan dirinya kepada Penciptanya, dan bagi setiap yang menginsafi hakikat ini, seluruh kehidupannya hanyalah untuk tujuan itu. Namun kebanyakan manusia mudah lupa terhadap nasib akhirnya kerana terlalu asyik dengan nasib hidupnya di dunia yang sementara ini.   Maka dengan rahmat Allah, sedikit demi sedikit perubahan ditunjukkan pada dirinya bagi menyediakan dirinya bagi menghadapi hari kesudahan. Dalam al-Qur’an disebutkan bahawa semakin bertambah usia seseorang itu, semakin lemah genggaman tangannya (Hud: 15 –16); semakin kabur penglihatannya (Isra’: 72); semakin mudah tersentuh perasaannya (Luqman: 22); semakin banyak gugur giginya (Ali Imran: 145); semakin lemah tulang dan sendinya (al-Nisa’: 78); semakin lebat uban di kepalanya (Ali Imran : 185); dan semakin kuat rasa ingin bersendirian jauh daripada manusia (al-An’am: 32). Perubahan-perubahan ini pastilah tidak menyenangkan, dan, jika boleh, mahu dielakkan daripada berlaku. Namun, ia adalah sebahagian daripada fitrah kejadian insan yang tidak dapat dielakkan. Dalam Surah Yasin, ayat 68, Allah menjelaskan bahawa orang yang dipanjangkan umurnya akan dikembalikan kepada sifat asalnya, iaitu lemah; Firman Allah: “Sesiapa yang kami panjangkan umurnya maka kami akan kembalikannya kepada kadaan asalnya…” Justeru, bagi orang-orang yang benar-benar beriman dan menginsafi hal keadaan dirinya, usia tua itu hanyalah suatu marhalah daripada perjalanannya menuju kepada Allah, dan seorang yang lebih berusia itu dikira lebih mulia hanya kerana dia lebih dahulu dan lebih lama mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka panjang atau pendeknya umur seseorang bukanlah dilihat pada bilangan tahunnya tetapi pada sedikit atau banyaknya amal kebajikan yang dikerjakan dalam hidupnya.

USIA EMAS DAN KEMATIAN Read More »

MENDIDIK MUSLIMAH BERILMU

Menuntut ilmu adalah satu kewajiban bagi seseorang Muslim, sama ada lelaki mahupun wanita. Kepentingan ilmu telah dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran dan disokong melalui hadis-hadis Nabi Muhammad SAW. Malah, tuntutan untuk menuntut ilmu juga adalah jelas dan telah diperjuangkan oleh ramai ulama dulu dan kini. Peranan Muslimah telah ditakrif dan digariskan dengan amat jelas dalam Islam. Secara ringkasnya, peranan utama Muslimah adalah untuk mengasuh dan mendidik anak-anak dan menjadi isteri yang bertanggung jawab. Mereka dituntut untuk melaksanakan segala tugas dan tanggung jawab dengan penuh kesungguhan dan ketaatan. Namun begitu Muslimah turut mempunyai peranan mereka tersendiri dalam masyarakat. Dalam kebanyakan aktiviti yang dibolehkan untuk Muslimah melakukannya, salah satu yang paling penting adalah hak untuk menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran serta membincang dan mengambil berat tentang masalah umat Islam. Untuk melaksanakan perkara ini seorang Muslimah itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pemahaman ilmu yang secukupnya supaya apa yang disampaikan itu tidak bercanggahan dengan syariat agama Islam. Kepakaran ulama wanita dalam bidang pengkhususan yang pelbagai menunjukkan bahawa tanggungjawab isteri dan ibu tidak menghalang wanita untuk menuntut ilmu, menyampaikan ilmu, dan menjadi pakar dalam sesuatu bidang ilmu.  Sebagai contoh Umm Darda’ seorang wanita dari kalangan tabi’in, menjadi guru kepada ramai ulama termasuklah Khalifah Umayyad yang kelima, Abdul Malik bin Marwan (646M-705M), Aishah binti Talha telah disenaraikan sebagai salah seorang perawi hadis yang dipercayai sehingga hadis-hadisnya dapat digunakan sebagai hujjah. Amat al-Wahid iaitu salah seorang anak perempuan kepada hakim terkenal di Baghdad menjadi pakar dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, fiqh berdasarkan mazhab Imam al-Sayfi’i, bahasa Arab serta matematik selain menghafal al-Quran dan menguasai ilmu al-Quran. Dalam melaksanakan kerja Islam dan membentuk kembali masyarakat Islam, perjuangan wanita muslimah adalah sangat perlu dan sangat besar peranannya. Wanita muslimah perlu memahami fikrah Islamiah. Dan, melaksanakannya dan menyampaikannya kepada manusia lain. Wanita muslimah perlu bergiat bersungguh-sungguh dalam dakwah Islamiah.

MENDIDIK MUSLIMAH BERILMU Read More »

HUBUNGAN MUKMIN DAN PENCIPTANYA

Solat merupakan salah satu dari rukun Islam yang merupakan kewajipan ibadah bagi setiap umat Muslim. Ibadah ini dilakukan sebagai bentuk penghambaan dan pengagungan kepada Allah SWT. Dalam Islam, solat terdiri dari doa-doa, bacaan ayat-ayat al-Quran da gerakan tubuh tertentu dilakukan secara berurutan. Solat memberi banyak pengaruh dalam kehidupan seorang mukmin. Ia mengajar seseorang itu untuk sabar, berdisiplin dan teratur dalam kehidupan mereka. Perbuatan dan bacaan dalam solat mendidik diri untuk tidak tergopoh gapah dan patuh pada setiap turutan pergerakan solat. Jika pergerakan solat itu tidak diikuti dengan tertib maka ia akan membatalkan solat. Begitu juga pergerakan solat tersebut tidak disertai dengan bacaan yang sepatutnya maka ia akan menyebabkan solat itu terbatal. Justeru solat merupakan satu bentuk pendidikan jiwa terdapat mukmin itu sendiri. https://ummahcaremalaysia.com/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Video-2026-08-08-at-22.11.08.mp4 Solat memberi peluang kepada mukmin untuk memohon keampunan dan hajat. Di dalam solat terdapat satu waktu yang mustajab untuk berdoa iaitu ketika sujud.  Rasulullah SAW bersabda bahawasanya seorang hamba yang paling dekat dengan Allah saat dia bersujud, maka perbanyaklah berdoa saat itu. Selain itu, terdapat juga solat khusus yang disebut sebagai solat hajat, yang dilakukan dengan niat memohon kepada Allah SWT agar mengabulkan hajat atau keinginan tertentu. Solat merupakan satu bentuk komunikasi rohani antara manusia mukmin dan Allah SWT. Solat adalah kewajipan dalam kehidupan mukmin. Solat membuka peluang seorang mukmin untuk memohon keampunan, menyatakan hajat dan memohon keredhaan. Ibadah solat juga merupakan satu bentuk pendidikan rohani dalam kehidupan mukmin. Solat memberi kesedaran kepada manusia bahawa setiap manusia tidak dapat lari dari tanggungjawab kepada pencipta mereka. Solat juga memberi peringatan  bahawa segala apa yang dikerjakan di dunia ini akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Justeru, orang yang menjaga solatnya akan terpelihara dari perkara-perkara yang tidak sepatutnya apabila ia mempunyai pemahaman sebaiknya mengenai ibadah ini. Solat yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tawadduk berupaya memberi kesan yang sangat mendalam dalam kehidupan mukmin, bukan sekadar perbuatan ibadah yang diwajibkan dalam agama sahaja tanpa pengertian yang sebaiknya.

HUBUNGAN MUKMIN DAN PENCIPTANYA Read More »

BERLUMBA DALAM KEBAIKAN

“Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan,” (Surah Al-Baqarah: 148) Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa mencari peluang untuk melakukan kebaikan. Berlumba dalam kebaikan dituntut dengan dengan syarat ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam dan ianya adalah dalam perkara yang baik sahaja. Jalan kebaikan itu tidak tertakhluk kepada apa-apa faktor namun kita perlu sentiasa mengingati 5 perkara ini sebelum 5 perkara yang lain iaitu: Sihat sebelum sakit Kaya sebelum miskin Lapang sebelum sibuk Muda sebelum tua Hidup sebelum mati Sebenarnya melaksanakan kebaikan tidak terikat kepada apa-apa perkara seperti yang disebutkan itu. Namun tahap kebaikan akan berbeza jika seseorang mengambil kira 5 perkara tersebut. Contohnya apabila sihat, seseorang berupaya melakukan lebih kebaikan seperti bergotong royong dalam masyarakat,  melibatkan diri dalam program sukarelawan dan kemanusiaan,  dapat solat berjemaah di masjid dan lain-lain aktiviti luaran lagi. Semua ini sukar dilakukan apabila seseorang tidak sihat atau sakit. Inilah yang dimaksudkan dengan tahap perlaksanaan kebaikan adalah berbeza apabila mengambil kira 5 perkara sebelum 5 perkara yang lain.

BERLUMBA DALAM KEBAIKAN Read More »

HARMONI MASYARAKAT

“Allah tidak melarang kalian untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kalian karena agama, serta tidak (pula) mengusir kalian dari negeri kalian. Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Allah hanya melarang kalian berkawan dengan orang-orang yang memerangi kalian karena agama, mengusir kalian dari negeri kalian, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kalian. Barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, mereka Itulah orang-orang yang zalim.” -Al-Mumtahanah:8 Hubungan antara masyarakat Islam dan Kristian bukan satu fenomena baru dalam tradisi agama Islam. Rasulullah s.a.w. pernah berinteraksi dengan orang-orang Kristian sebelum dan selepas turunnya wahyu. Ini menunjukkan bahawa agama Islam menghormati agama lain selagi mana ia tidak menzalimi Islam. Apa yang dilarang oleh Islam ialah untuk mengasihi mereka yang memerangi agama Allah taala dan memusuhi umat Islam secara nyata. Di zaman moden ini, menghormati agama satu sama lain memberi kesan besar dalam masyarakat. Keharmonian masyarakat turut bergantung kepada rasa hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan fahaman akidah. Agama Islam tidak menyuruh umatnya menzalimi atau mencaci dan mencela agama lain dikhuatiri memberi contoh tidak baik dan menjejaskan imej Islam itu sendiri. Bagi masyarakat di negara kita ini, keharmonian dalam bermasyarakat perlu diberi perhatian kerana tidak dapat tidak ada yang hidup bersama masyarakat bukan Islam dalam kejiranan mereka. Saling menghormati, menjaga tingkah laku, bersopan dalam perbuatan dan perkataan adalah antara sikap yang perlu diterapkan dalam diri untuk mengekalkan keharmonian tersebut.

HARMONI MASYARAKAT Read More »

BELAJARLAH DARI KECIL

“Anak Ibarat kain putih” Ayat ini memberi makna dan pengertian besar apabila diteliti dan difahami. Ringkas tetapi penuh maksud tersirat. Dari sehelai kain putih yang suci tanpa kotoran, pemiliknyalah yang akan menentukan hasil akhir sama ada cantik atau tidak corak yang dihasilkan. Apa jua corak yang dihasilkan pastinya sang pemilik mahu ianya menjadi hasil yang cemerlang. Begitu juga dalam dunia anak-anak. Setiap anak akan menjadi seperti mana yang diasuh dan dididik oleh kedua ibubapa. Peribahasa Melayu ada menyebut “melentur buluh biarlah dari rebungnya” jelas menunjukkan bahawa anak-anak perlu dididik dari usia muda supaya dapat membentuk akhlak yang baik sehingga dewasa kelak.

BELAJARLAH DARI KECIL Read More »

MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM

 “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). (Surah al-Nisa’ : 86) Islam melihat ucapan salam sebagai salah satu bentuk amalan sunnah. Ucapan salam merupakan ucapan sejahtera dan selamat bertujuan memberi penghormatan sesama saudara muslim. Imam al-Nawawi menyatakan: “Ketahuilah bahawa memulakan salam adalah sunnah dan menjawabnya adalah wajib. Jika seorang muslim itu berada di dalam kumpulan maka menjadi sunnah kifayah pada hak mereka apabila sebahagian daripada mereka sahaja yang mengucapkan salam dan mereka memperoleh sunnah salam itu bagi kesemua mereka. Apabila seorang muslim itu bersendiri maka menjadi fardhu ain ke atasnya untuk menjawab. Jika mereka di dalam Jemaah maka menjawab salam itu menjadi fardhu kifayah pada hak mereka kerana jika seorang daripada mereka menjawab maka gugurlah dosa terhadapa yang lain. Akan tetapi, yang afdhal adalah kesemuanya memberi salam dan kesemuanya menjawabnya. “(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/140)   Mendidik generasi muda untuk memberi salam adalah digalakkan dalam masyarakat Melayu. Ia dapat menunjukkan adab yang mulia kepada orang yang lebih tua seperti kepada ibubapa, datuk dan nenek, guru-guru dan juga kepada ahli masyarakat yang lebih tua. Perilaku memberi dan menjawab salam ini juga memberi tanda akhlak yang mulia dalam diri seseorang itu. Marilah kita amalkan memberi salam apabila berjumpa dan menjawab salam apabila mendengar ucapan salam.  Ucapan yang ringan pada mulut namun sangat meluas kesannya.

MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM Read More »

HUKUM NON MUSLIM UCAP KALIMAH ISLAM

Masyarakat Malaysia yang majmuk iaitu berbilang kaum telah membawa kepada percampuran budaya dalam perlbagai perkara. Antaranya adalah cara pergaulan dan pertuturan harian. Bagi masyarakat non muslim, pengaruh kalimah Islam dalam kehidupan adalah sesuatu yang tidak dinafikan terutama bagi mereka yang berada dalam lingkungan masyarakat Islam. Contohnya membesar di  kejiranan Melayu, bersekolah di sekolah kebangsaan dan sebagainya. Oleh itu sedikit sebanyak ianya mempengaruhi pergaulan sosial antara satu sama lain. Bagi persoalan ucapan kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam perbualan harian, penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti ‘Alhamdulillah’ dan seumpamanya adalah harus dengan syarat tidak merendahkan kesucian agama Islam dan tidak mengandungi unsur penghinaan serta menggunakannya dalam konteks yang betul. Namun bagitu terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi berkenaan penggunaan kalimah Islam oleh bukan Islam seperti berikut: Tidak digunakan dalam konteks olok-olok, penghinaan atau persendaan. Tidak dijadikan bahan komersial atau slogan yang mencemarkan makna asal. Mestilah merujuk kepada umat Islam untuk menjelaskan makna sebenar kalimah tersebut bagi kegunaan yang betul dan tepat pada situasinya. Hidup di dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya seperti di Malaysia memberi kesan yang pelbagai kepada bangsa dan agama yang ada. Penggunaan ucapan dan kalimah seperti yang dinyatakan di atas tidak dapat dielakkan. Namun sikap saling menghormati dan bertoleransi amatlah perlu bagi memastikan ianya tidak membawa kepada unsur penghinaan dan merendahkan kesucian Islam.  

HUKUM NON MUSLIM UCAP KALIMAH ISLAM Read More »

AIDIL ADHA 2026

Bulan Zulhijjah bukan sekadar bulan penting bagi ibadah qurban dan haji tetapi ia adalah bulan dan detik membetulkan semula hidup dan arah tuju kita. Mengambil kira bulan ini sebagai bulan terakhir dalam kalendar Islam, ibadah qurban bukan sekadar merujuk kepada sembelihan binatang qurban bahkan ia juga membawa maksud mengorbankan segala perkara dan amalan buruk terdahulu untuk menuju bulan baru dengan lebih baik dan bermakna. Oleh itu kita digalakkan memperbanyakkan berdoa terutama pada Hari Arafah kerana ada keberkatan dan keistimewaan yang tersendiri. Bagi team Ummah Care Malaysia,  program qurban yang dijalankan bersama masyarakat Muslim Mualaf di Kepulauan Cebu, Filipina telah memberikan satu peluang untuk melaksanakan kebajikan kepada saudara seagama di kepulauan ini. Peluang berkongsi rezeki kepada masyarakat ini yang rata-ratanya miskin dan berpendapatan rendah. Bukan sahaja daging dan beras, tudung dan telekung juga berjaya diagihkan kepada para muslimah mualaf di petempatan yang terlibat. Barang dan makanan yang disampaikan adalah barang keperluan yang mahal dan sukar didapati di kawasan mereka. Justeru program ibadah qurban dan agihan daging serta tudung ini memberi satu makna yang sangat besar kepada mereka. Semoga team Ummah Care Malaysia dan semua yang terlibat diberikan kesempatan lagi untuk melaksanakan program seperti ini pada masa akan datang.  https://ummahcaremalaysia.com/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Video-2026-05-31-at-08.13.31.mp4

AIDIL ADHA 2026 Read More »

QURBAN BERSAMA MUALAF FILIPINA 2026

Tanggal 27 Mei 2026 bersamaan 10 Zulhijjah 1447, team Ummah Care Malaysia bersama beberapa sukarelawan dengan kerjasama Briged Bakti Malaysia, One Daawah Foundation dan Islamic ABIM Outreach Kelantan telah berpeluang melaksanakan ibdah qurban bersama mualaf di Cebu, Filipina. Turut dilaksanakan adalah pemberian tudung percuma kepada Mualaf Muslimah selain agihan daging dan beras kepada komuniti Muslim setempat. https://ummahcaremalaysia.com/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Video-2026-05-28-at-17.07.41-1.mp4https://ummahcaremalaysia.com/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Video-2026-05-28-at-17.07.39.mp4 Seluruh team yang terlibat berasa syukur kerana dapat menyempurnakan amanah yang diberikan dengan melaksanakan qurban dan agihan kepada mereka yang layak.  Bagi penduduk Muslim setempat, program qurban seperti ini amatlah bermakna kerana kesukaran mendapatkan daging halal di petempatan mereka. Melalui program seperti ini, ianya memberi peluang kepada mereka untuk merasa dan menikmati daging halal. Semoga Allah SWT memberkati semua yang telah memberi kepercayaan kepada team yang terlibat dan sudi berkongsi rezeki dengan para mualaf ini.

QURBAN BERSAMA MUALAF FILIPINA 2026 Read More »