“Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan,”
(Surah Al-Baqarah: 148)
Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa mencari peluang untuk melakukan kebaikan. Berlumba dalam kebaikan dituntut dengan dengan syarat ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam dan ianya adalah dalam perkara yang baik sahaja.
Jalan kebaikan itu tidak tertakhluk kepada apa-apa faktor namun kita perlu sentiasa mengingati 5 perkara ini sebelum 5 perkara yang lain iaitu:
- Sihat sebelum sakit
- Kaya sebelum miskin
- Lapang sebelum sibuk
- Muda sebelum tua
- Hidup sebelum mati
Sebenarnya melaksanakan kebaikan tidak terikat kepada apa-apa perkara seperti yang disebutkan itu. Namun tahap kebaikan akan berbeza jika seseorang mengambil kira 5 perkara tersebut. Contohnya apabila sihat, seseorang berupaya melakukan lebih kebaikan seperti bergotong royong dalam masyarakat, melibatkan diri dalam program sukarelawan dan kemanusiaan, dapat solat berjemaah di masjid dan lain-lain aktiviti luaran lagi. Semua ini sukar dilakukan apabila seseorang tidak sihat atau sakit. Inilah yang dimaksudkan dengan tahap perlaksanaan kebaikan adalah berbeza apabila mengambil kira 5 perkara sebelum 5 perkara yang lain.
