Masyarakat Malaysia yang majmuk iaitu berbilang kaum telah membawa kepada percampuran budaya dalam perlbagai perkara. Antaranya adalah cara pergaulan dan pertuturan harian. Bagi masyarakat non muslim, pengaruh kalimah Islam dalam kehidupan adalah sesuatu yang tidak dinafikan terutama bagi mereka yang berada dalam lingkungan masyarakat Islam. Contohnya membesar di kejiranan Melayu, bersekolah di sekolah kebangsaan dan sebagainya. Oleh itu sedikit sebanyak ianya mempengaruhi pergaulan sosial antara satu sama lain.
Bagi persoalan ucapan kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam perbualan harian, penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti ‘Alhamdulillah’ dan seumpamanya adalah harus dengan syarat tidak merendahkan kesucian agama Islam dan tidak mengandungi unsur penghinaan serta menggunakannya dalam konteks yang betul. Namun bagitu terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi berkenaan penggunaan kalimah Islam oleh bukan Islam seperti berikut:
- Tidak digunakan dalam konteks olok-olok, penghinaan atau persendaan.
- Tidak dijadikan bahan komersial atau slogan yang mencemarkan makna asal.
- Mestilah merujuk kepada umat Islam untuk menjelaskan makna sebenar kalimah tersebut bagi kegunaan yang betul dan tepat pada situasinya.
Hidup di dalam masyarakat berbilang kaum dan budaya seperti di Malaysia memberi kesan yang pelbagai kepada bangsa dan agama yang ada. Penggunaan ucapan dan kalimah seperti yang dinyatakan di atas tidak dapat dielakkan. Namun sikap saling menghormati dan bertoleransi amatlah perlu bagi memastikan ianya tidak membawa kepada unsur penghinaan dan merendahkan kesucian Islam.
