Kepakaran ulama wanita dalam bidang pengkhususan yang pelbagai menunjukkan bahawa tanggungjawab isteri dan ibu tidak menghalang wanita untuk menuntut ilmu, menyampaikan ilmu, dan menjadi pakar dalam sesuatu bidang ilmu.
Sebagai contoh Umm Darda’ seorang wanita dari kalangan tabi’in, menjadi guru kepada ramai ulama termasuklah Khalifah Umayyad yang kelima, Abdul Malik bin Marwan (646M-705M), Aishah binti Talha telah disenaraikan sebagai salah seorang perawi hadis yang dipercayai sehingga hadis-hadisnya dapat digunakan sebagai hujjah. Amat al-Wahid iaitu salah seorang anak perempuan kepada hakim terkenal di Baghdad menjadi pakar dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, fiqh berdasarkan mazhab Imam al-Sayfi’i, bahasa Arab serta matematik selain menghafal al-Quran dan menguasai ilmu al-Quran.
Dalam melaksanakan kerja Islam dan membentuk kembali masyarakat Islam, perjuangan wanita muslimah adalah sangat perlu dan sangat besar peranannya. Wanita muslimah perlu memahami fikrah Islamiah. Dan, melaksanakannya dan menyampaikannya kepada manusia lain. Wanita muslimah perlu bergiat bersungguh-sungguh dalam dakwah Islamiah.

