MASJID MAHMUDIAH, MOALBOAL
Meneruskan agenda Misi Kemanusiaan dan Dakwah Filipina Siri 4/2024, kru Ummah Care Malaysia singgah ke destinasi seterusnya iaitu Moal Boal untuk melihat perkembangan pembinaan masjid di situ. Laluan untuk ke Masjid Moal Boal ini masih tidak sempurna namun ianya lebih baik daripada ziarah kami yang terdahulu.
Setibanya di situ, kami dapat melihat terdapat perkembangan yang baik mengenai masjid ini. Bahkan sudah ada aktiviti yang dapat dijalankan seperti solat Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Masjid yang dinamakan Masjid Mahmudiah ini sudah dilengkapi dengan kemudahan air yang diperoleh menggunakan telaga boring yang digali berhampiran masjid. Kos menyediakan telaga boring yang berkedalaman 60 meter ini menelan jumlah hampir RM 25,000 keseluruhannya. Dengan adanya sumber air dari telaga ini, ia membantu menampung kegunaan penduduk sekitar daerah ini dengan lebih baik.
Meninjau sekeliling masjid, ada beberapa bahagian yang masih belum siap sepenuhnya namun proses pembinaan berjalan dengan lancar. Bahagian belakang masjid sudah didirikan dan sebahagian dindingnya sudah diplaster. Di bahagian kiri dan kanan masjid masih belum dilengkapi dengan pintu dan tingkap. Terdapat juga ruangan yang disediakan untuk para ustaz yang berkhidmat di situ. Menjengah ke ruang utama masjid, bahagian ini telah berjaya dilengkapi tile namun bahagian bumbung ruang tersebut belum dilengkapi dengan siling. Namun begitu aktiviti solat dan pengajian masih mampu dilaksanakan dengan sebaiknya.
Alhamdulillah banyak perkembangan positif mengenai pembinaan masjid ini. Justeru kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang tanah yang telah membeli seterusnya menyumbang untuk dijadikan sebuah masjid di kawasan ini. Tidak lupa juga kepada Yayasan Darul Ansarul Hadis serta beberapa penyumbang yang lain yang telah banyak membantu dalam pembinaan Masjid Mahmudiah di Moal Boal ini.
ummah care malaysia
Penghubung Kasih Ummah
