Selesai solat Jumaat di Masjid Al-Mukmin, Toledo City, kami dihampiri oleh seorang pakcik tua. Menyampaikan hasrat untuk mengucapkan dua kalimah syahadah, kami menyambut baik dan penuh gembira akan niat murni pakcik ini. Syahadah pakcik ini dipimpin oleh Ustaz Nasir Zakaria, Presiden Ummah Care Malaysia sendiri.
Sesudah sesi syahadah, satu pertemuan dan perbualan tercetus di antara kru Ummah Care Malaysia dan anak pakcik ini.Perbualan kami lebih kepada bagaimana ayah beliau boleh tertarik kepada Islam. Jawab si anak, beliau suami isteri sudah memeluk Islam tanpa pengetahuan ayah sejak sekian lama. Setiap kali Jumaat mereka akan keluar untuk solat Jumaat. Perkara ini menimbulkan kehairanan kepada pakcik tersebut.
Kata anak pakcik itu lagi, “Pada hari ini, ayah saya berkeras nak ikut ke mana kami pergi setiap Jumaat. Tanpa kami sangka beliau datang dan mendengar khutbah. Terus tergerak hati memeluk Islam. “
Allahu Akbar.
Allah Maha Besar.
Sungguhlah bahawa dakwah itu ada banyak cara. Dakwah itu bukan dengan kata-kata sahaja. Perbuatan kita juga dakwah kepada orang lain.
Semoga Allah SWT memberi ketetapan iman kepada mereka sekeluarga. amin

