SYAWAL BULAN KEMENANGAN

Bulan Syawal merupakan bulan yang dinanti selepas berakhirnya Ramadhan. Semua umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri di bulan Syawal dengan kegembiraan. Aidilfitri adalah masa yang ditunggu untuk berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara.

Ia merupakan simbol hari kemenangan apabila manusia berjaya menahan nafsu, mendidik jiwa, memperbaiki akhlak, serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT dan sesama makhluk.

Persiapan menyambut Aidilfitri dilaksanakan sebaik mungkin. Pakaian dipastikan kemas dan cantik, juadah yang bakal dihidangkan untuk para tetamu akan disiapkan sebaiknya. Pada waktu seperti inilah kemeriahan raya akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran insan yang dinanti.

Apa yang penting untuk dihayati adalah Aidilfitri bukan hanya ruang untuk meraikan kemeriahan luaran, tetapi juga detik untuk mensyukuri kemenangan rohani yang dicapai. Apa sahaja amalan murni yang diamalkan perlu diteruskan untuk hari dan bulan seterusnya, bukan sekadar di bulan Ramadhan sahaja. 

Masyarakat Muslim bergambar kenangan selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Umm Bilal, Casoy, Toledo.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:

“Ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, mereka (penduduk Madinah) mempunyai dua hari yang mereka rayakan. Maka Baginda bersabda: Allah telah menggantikan dua hari tersebut dengan dua hari yang lebih baik, iaitu Hari Aidilfitri dan Hari Aidiladha.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, No. 1134 – Sahih)

Hadis ini menjelaskan bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang diiktiraf dan disyariatkan dalam Islam sebagai ganti kepada perayaan yang tidak bersandarkan kepada tauhid. Maka, Aidilfitri adalah simbol kesyukuran, keimanan dan ketaatan setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan penuh.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *