Pusat Ilmu Kuala Pai, sebuah tempat yang terletak di Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang, Kedah. Di dalam pusat ini terletaknya sebuah tahfiz iaitu Akademi Al-Qurandan Dakwah Ummah (AQDU) dan juga sebuah pusat warga emas, Kompleks Warga Emas Baitun Nur.
Pusat ini telah lama ditubuhkan bagi memberi peluang pendidikan kepada generasi muda menimba ilmu. Antara fokus utama penubuhan pusat ini adalah menyediakan satu platform pendidikan agama berkaitan Al-Quran khususnya kepada generasi muda di negara-negara dunia ketiga. Contohnya seperti Vietnam, Kemboja, Filipina.
Anak-anak pelajar yang belajar di sini ditaja sepenuhnya oleh Ummah Care Malaysia. Mereka diberi pendedahan mengenai asas bacaan Al-Quran seterusnya kepada hafazan bagi yang berkemampuan. Ini kerana ada di antara mereka yang tidak berlatarbelakangkan amalan kehidupan Islam dalam seharian mereka. Justeru itu Ummah Care Malaysia menawarkan peluang pengajian di AQDU bagi membantu anak-anak pelajar ini.
Namun begitu, pusat ini masih kekurangan fasiliti utama iaitu sebuah masjid untuk kegunaan para pelajar. Oleh itu sebuah masjid sedang ditubuhkan bagi membantu mereka dan juga bakal penghuni Baitun Nur dalam proses pengajian di situ. Masjid ini akan digunakan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan, sosial dan kerohanian.
Apa yang penting adalah masjid yang sedang dibina ini akan menjadi pusat aktiviti antara penghuni Pusat Ilmu dan juga masyarakat setempat. Bukan itu sahaja ia juga diharapkan dapat menjadi pusat kerohanian dalam membangunkan sebuah masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera.
Doakan semoga usaha Ummah Care Malaysia dalam membentuk masyarakat Celik Al-Quran dipermudahkan Allah SWT. Ini semua adalah usaha bersama ke arah membentuk masa depan yang berpandukan Al-Quran.
فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ.
Maksudnya: Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Surah al-Taubah (122)

