cariGara
Perjalanan ke Daerah Carigara diteruskan atas dasar memenuhi hajat seorang saudara seagama yang bersungguh-sungguh ingin berjumpa dengan wakil Ummah Care Malaysia. Perjalanan sejauh satu jam ini membawa kami bertemu dengan Saudara Mahmud, seorang mualaf yang berhajat besar dalam kerja dakwah Islam ini. Pertemuan di sebuah surau yang disewakan ini memberi satu cerita baru kepada kami. Kami berbual-bual seketika sebelum menunaikan ibadah solat jamak di surau tersebut. Seusai bersolat, saudara Mahmud mula membuka cerita. Menurutnya surau ini diguna secara sewaan untuk kegunaan masyarakat Muslim di situ. Namun mendukacitakan kerana ianya akan diambil semula oleh pemiliknya. Oleh kerana itu, saudara Mahmud dengan rela menawarkan kediamannya sendiri sebagai alternatif untuk dijadikan tempat solat. Kediamannya sendiri ini memang digunakan sebagai tempat solat sebelum ini tetapi terpaksa ditukar ke tempat lain kerana terdapat kebocoran pada atap bumbung dan memerlukan kos tinggi untuk diperbaiki. Kami meninjau kawasan sekeliling dan mendapati ada beberapa kawasan yang dapat ditambahbaik dan dibina untuk dijadikan tempat solat bagi masyarakat Muslim di situ. InsyaAllah Tuan Puan, Kita bantu sebaik yang boleh. Nak berjanji adalah sesuatu yang tidak pastu namun kami akan cuba usahakan mengumpul dana bagi tujuan tersebut. Semoga Allah SWT permudahkan urusan kami dan hasrat saudara Mahmud sebaiknya. InsyaAllah.










