USIA EMAS DAN KEMATIAN

Warga tua sering dikaitkan dengan emas kerana mengaitkan mereka dengan nilai pengalaman hidup yang telah dilalui. Namun begitu usia emas ini juga sering dikaitkan dengan kemerosotan kesihatan dan penurunan kualiti kehidupan. Apabila dipandang dari sudut ini, masa tua ialah masa yang suram dan tidak menyenangkan. Muda dan tua, pada hakikatnya, adalah sebahagian daripada sifat semulajadi setiap kejadian, iaitu pasti mempunyai permulaan dan kesudahan.

Dalam sebuah hadis (riwayat Ahmad, Tirmidhi dan Hakim) Rasulullah SAW telah ditanya oleh seorang sahabat tentang manusia yang paling baik, dan Baginda menjawab: “Seseorang yang panjang umurnya dan baik amalnya.” Lalu Baginda ditanya manusia bagaimanakah pula yang jahat ataupun celaka? Jawab Baginda: “Seseorang yang panjang umurnya dan jahat amalnya.” Dalam hadis ini jelas bahawa baik atau buruknya seseorang itu bukan terletak semata-mata pada umurnya akan tetapi kepada amalannya, dan umur yang panjang itu merupakan suatu kelebihan hanya kalau sekiranya ia diisi dengan amal kebajikan, dan sebaliknyalah jika usia yang panjang itu hanya diisi dengan maksiat dan pendurhakaan kepada Allah. Hakikatnya manusia itu diciptakan hanya untuk memperhambakan dirinya kepada Penciptanya, dan bagi setiap yang menginsafi hakikat ini, seluruh kehidupannya hanyalah untuk tujuan itu. Namun kebanyakan manusia mudah lupa terhadap nasib akhirnya kerana terlalu asyik dengan nasib hidupnya di dunia yang sementara ini.

 

Maka dengan rahmat Allah, sedikit demi sedikit perubahan ditunjukkan pada dirinya bagi menyediakan dirinya bagi menghadapi hari kesudahan. Dalam al-Qur’an disebutkan bahawa semakin bertambah usia seseorang itu, semakin lemah genggaman tangannya (Hud: 15 –16); semakin kabur penglihatannya (Isra’: 72); semakin mudah tersentuh perasaannya (Luqman: 22); semakin banyak gugur giginya (Ali Imran: 145); semakin lemah tulang dan sendinya (al-Nisa’: 78); semakin lebat uban di kepalanya (Ali Imran : 185); dan semakin kuat rasa ingin bersendirian jauh daripada manusia (al-An’am: 32). Perubahan-perubahan ini pastilah tidak menyenangkan, dan, jika boleh, mahu dielakkan daripada berlaku. Namun, ia adalah sebahagian daripada fitrah kejadian insan yang tidak dapat dielakkan. Dalam Surah Yasin, ayat 68, Allah menjelaskan bahawa orang yang dipanjangkan umurnya akan dikembalikan kepada sifat asalnya, iaitu lemah; Firman Allah: “Sesiapa yang kami panjangkan umurnya maka kami akan kembalikannya kepada kadaan asalnya…”

Justeru, bagi orang-orang yang benar-benar beriman dan menginsafi hal keadaan dirinya, usia tua itu hanyalah suatu marhalah daripada perjalanannya menuju kepada Allah, dan seorang yang lebih berusia itu dikira lebih mulia hanya kerana dia lebih dahulu dan lebih lama mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka panjang atau pendeknya umur seseorang bukanlah dilihat pada bilangan tahunnya tetapi pada sedikit atau banyaknya amal kebajikan yang dikerjakan dalam hidupnya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *