“Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula."(Surah Al-Mulk 67:15)
Tirai 2024 dibuka dengan satu misi baru bagi Ummah Care Malaysia. Misi kali ini lebih luas dan lebih jauh perjalanannya.
Memulakan tahun baru ini dengan semangat dan azam baru, kru Ummah Care Malaysia yang diwakili oleh Penaung dan Presiden Ummah Care Malaysia iaitu Dato Dr. Abdul Razak bin Kechik dan Ustaz Haji Mohd Nasir bin Zakaria memulakan perjalan misi ini pada 10 Januari 2024. Misi kali ini lebih menumpukan kepada lawatan projek pembinaan masjid dan juga program dakwah di beberapa tempat yang pernah dilawati sebelum ini.
Perjalanan misi kali ini turut disertai oleh Tan Sri Subhan, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan yang ingn menjadi sebahagian dari kembara dakwah ini.
Setibanya di sana, kru Ummah Care Malaysia disambut oleh beberapa ketua pusat Islam Cebu dan dibawa ke Pusat Islam Lapu-Lapu iaitu di Masjid Rahmaniyyah. Di pusat islam ini, semua ahli kru melepaskan lelah dan berehat sebelum memulakan aktiviti seterusnya.
Seusai solat, kesemua yang ada diberikan sedikit santapan rohani oleh Dato Dr. Abdul Razak. Beliau menyampaikan tazkirah berkaitan Ummatan Wasatan. Di dalam tazkirah tersebut, beliau mengingatkan semua bahawa umat Islam perlu sentiasa bersederhana dalam semua perkara, tidak melampaui batasan yang ditetapkan syarak, saling menghormati antara satu sama lain bahkan kepada hormat kepada bukan Islam juga.
Selain itu beliau turut menekankan bahawa kehidupan seorang Muslim perlu selari dengan ajaran Islam melalui apa yang disampaikan oleh Al-Quran dan Sunnah serta sentiasa mencontohi Rasulullah S.A.W dalam kehidupan.
