“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama).
(Surah al-Nisa’ : 86)
Islam melihat ucapan salam sebagai salah satu bentuk amalan sunnah. Ucapan salam merupakan ucapan sejahtera dan selamat bertujuan memberi penghormatan sesama saudara muslim.
Imam al-Nawawi menyatakan: “Ketahuilah bahawa memulakan salam adalah sunnah dan menjawabnya adalah wajib. Jika seorang muslim itu berada di dalam kumpulan maka menjadi sunnah kifayah pada hak mereka apabila sebahagian daripada mereka sahaja yang mengucapkan salam dan mereka memperoleh sunnah salam itu bagi kesemua mereka. Apabila seorang muslim itu bersendiri maka menjadi fardhu ain ke atasnya untuk menjawab. Jika mereka di dalam Jemaah maka menjawab salam itu menjadi fardhu kifayah pada hak mereka kerana jika seorang daripada mereka menjawab maka gugurlah dosa terhadapa yang lain. Akan tetapi, yang afdhal adalah kesemuanya memberi salam dan kesemuanya menjawabnya. “(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/140)
Mendidik generasi muda untuk memberi salam adalah digalakkan dalam masyarakat Melayu. Ia dapat menunjukkan adab yang mulia kepada orang yang lebih tua seperti kepada ibubapa, datuk dan nenek, guru-guru dan juga kepada ahli masyarakat yang lebih tua. Perilaku memberi dan menjawab salam ini juga memberi tanda akhlak yang mulia dalam diri seseorang itu.
Marilah kita amalkan memberi salam apabila berjumpa dan menjawab salam apabila mendengar ucapan salam. Ucapan yang ringan pada mulut namun sangat meluas kesannya.

