GUBA DAN MUSLIM PINAMUNGAJAN
Pinamungajan, sebuah kawasan perbandaran kecil yang terletak di daerah Cebu merupakan antara kawasan yang ditempati oleh masyarakat Islam Filipina. Kawasan ini mempunyai 100,000 orang penduduk Muslim.
Namun demikian, kehidupan mereka masih banyak kekurangan. Kemudahan yang ada masih belum lengkap. Bukan hanya ketika mereka hidup bahkan ketika mereka meninggal dunia juga. Mereka berdepan kesukaran mendirikan tempat ibadah. Mereka juga menghadapi kesukaran menguruskan urusan kematian.
Di Pinamungajan, penduduk Muslim berdepan kesukaran apabila terdapat kematian di kalangan mereka. Ini kerana mereka tidak mempunyai kawasan perkuburan Islam di petempatan tersebut. Tanah perkuburan terdekat ialah Tanah Perkuburan Islam Guba.
Tapak perkuburan Islam sedia ada terletak di Guba, jauhnya kira-kira 72 KM dari Pinamungajan. Meredah perjalanan yang jauh dan sukar merupakan perkara biasa bagi masyarakat Muslim di situ. Kawasan tersebut berbukit bukau dan terletak jauh dari kawasan jalan utama sekaligus menyukarkan proses penyempurnaan jenazah. Namun semuanya tetap dilaksanakan sebaiknya sebagai memenuhi keperluan fardhu kifayah.

