PART 2
Perjalanan ke Kampung Eli Negros memang sangat mencabar diri. Dari berkereta, kami menaiki kuda. Dari berkuda kami berjalan kaki pula sebelum tiba di kampung ini. Semua demi tanggungjawab yang diamanahkan kepada diri kami sebagai hamba Allah di muka bumi ini.
Kedatangan kami disambut penuh mesra oleh penduduk di situ. Selesai menikmati hidangan yang disajikan kami bergegas melaksanakan persiapan untuk majlis bersama penduduk dan juga penyampaian sumbangan kepada penduduk setempat.
Majlis dimulakan dengan ucapan dari Ustaz Abdullah, kemudian Ustaz Alimuddin yang merupakan para pendakwah di sana. Ustaz Nasir selaku Presiden Ummah Care Malaysia turut mengambil peluang tersebut untuk memberikan penerangan dan taklimat kepada para penduduk.
Usai ucapan dan taklimat, majlis diteruskan dengan sesi Syahadah, satu sesi di mana penduduk kampung dapat memperbaharui syahadah mereka sebagai seorang Islam. Kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada penduduk setempat. Sumbangan berupa beras ini adalah hasil sumbangan Tuan Puan yang budiman sekalian.
Penduduk kampung berasa gembira apabila menerima sumbangan ini. Ini kerana harga beras di tempat mereka adalah tinggi dan sukar diperolehi terutama di kawasan pendalaman.
Selesai sesi serahan sumbangan kepada penduduk setempat, semua yang hadir dijemput untuk menikmati jamuan kenduri. Jamuan ini juga antara hasrat rakan-rakan yang sentiasa menyokong kerja-kerja dakwah ini.
Alhamdulillah hasrat mereka telah kami laksanakan. Doa kami semoga Allah SWT memberi ganjaran yang sebaiknya kepada mereka atas kebaikan yang mereka lakukan ini.
Begitulah pengalaman kami semua di perkampungan Eli Negros ini. Sebuah tempat yang kami tak sampai sebelum ini. Alhamdulillah Allah SWT takdirkan ketibaan kami kali ini. Doakan perjalanan kami seterusnya dipermudahkan Allah SWT. Misi kami masih belum selesai.
bersambung…

