22 SEPTEMBER 2024 – Misi Kemanusiaan dan Dakwah Filipina diteruskan lagi. Menjejakkan kali lagi sekali di bumi Filipina ini, Ummah Care Malaysia membawa hajat memantau perkembangan dakwah yang dilaksanakan oleh para ustaz dan daie di sana.
Antara program lain yang akan turut dilaksanakan adalah program mass dakwah, lawatan ke komuniti Islam, perjumpaan bersama para ustaz dan Daie serta lawatan ke masjid-masjid yang sedang dibina dan tapak masjid baru. Lawatan juga akan diadakan ke daerah Badian bagi melihat sendiri perkembangan terkini pembinaan Kompleks Masjid Al-Ummah dan Maahad Tahfiz An-Nasiriyyah.
Selain daripada itu, misi kali ini mengambil peluang untuk menganjurkan kelas pengajian asas Al-Quran melalui Kursus Iqra’ kepada para Mualaf Filipina ini di kawasan-kawasan yang dikunjungi. Program mass dakwah pula akan turut meliputi pengagihan tudung dan telekung kepada Mualaf Muslimat bagi mendedahkan mereka kepada amalan menutup aurat dalam kehidupan sebagai seorang Islam.
Turut serta dalam rombongan kali ini adalah Dato’ Haji Mohd Rawi bin Abd Hamid dan Dato’ Mohd Sharizan bin Haji Abu selaku Jawatankuasa Antarabangsa Ummah Care Malaysia.
Doakan semoga segala urusan kami berjalan lancar dan dapat mencapai segala tujuan yang dinyatakan. Semoga Allah SWT merahmati Tuan Puan atas segala usaha Tuan Puan membantu kami ini.
