Program pertama di Cebu bermula di Pulau Olanggo iaitu Program Mass Dakwah. Pulau Olanggo dihuni oleh 35,000 penduduk. Islam di pulau ini bermula dengan hanya dua orang Muslim yang berasal dari Mindanao pada awal 2019. Alhamdulillah hasil usaha dan kerja keras dari pendakwah, jumlah penduduk Muslim meningkat kepada 1,500 pada ketika ini dengan penubuhan sebuah Masjid dan juga dua Islamic Centre.
Syukur Alhamdulillah!!
اللَّهُمَّ يَا مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوْبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
“Ya Allah, wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami atas ketaaatan kepada-Mu”
Aktiviti kemudiannya dilanjutkan kepada Iftar Perdana sempena Puasa Hari Arafah di Masjid Rahmaniyyah Pulau Lapu-Lapu, sebuah masjid yang dibina atas sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.
Hari berikutnya dimulakan dengan persediaan Solat Eidul Adha dan juga Qurban. Ini kerana masyarakat di sini menyambut Hari Eidul Adha sehari lebih awal daripada masyarakat di Malaysia.
Kru Dakwah Qurban berpeluang menunaikan solat Eidul Adha bersama-sama saudara seagama di sini, di sebuah masjid yang masih dalam pembinaan iaitu masjid Badian. Masjid ini di bawah pimpinan Ummah Care Malaysia dengan kerjasama Bridged Bakti Malaysia dan juga One Daawah Foundation, sebuah NGO Muslim di Cebu, Filipina.
Mendengar laungan takbir di masjid ini, hati terasa sayu dan gembira kerana dapat meraikan suasana ini bersama-sama masyarakat Muslim di sini
Usai solat, semua ahli masyarakat bergotong-royong menyempurnakan ibadah Qurban dengan penyembelihan tiga ekor lembu dan juga 15 ekor kambing. Masyarakat semua berpeluang merasakan suasana jamuan Eidul Adha.
Program seterusnya adalah program Mass Dakwah di bawah pimpinan Dato Abdul Razak bin Kechik, Presiden Bridged Bakti Malaysia yang menyaksikan seramai 500 orang penduduk di situ memeluk Islam. Masjlis mengangkat syahadah dipimpin oleh Hajah Asiah dan juga beberapa kru program.

